Jumaat, 11 Disember 2009

Dapatkan Tauliah Jika Ingin Berdakwah Di Selangor, Titah Sultan


KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pihak yang ingin berdakwah dan mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIs) bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat.

Baginda bertitah tauliah daripada Mais merupakan salah satu cara untuk memastikan perpaduan ummah yang kukuh di negeri itu tidak dirosakkan melalui dakwah fahaman yang berpuak-puak dan juga dakwah atau pengajaran mengelirukan yang boleh memecah belahkan kesatuan umat Islam di Selangor.

"Jawatankuasa Tauliah Mais telah menguatkuasakan kaedah-kaedah tauliah yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

"Justeru, sebagai muslim yang benarbenar beriman kepada Allah maka patuhilah ajaran agama Allah yang kita anuti ini, jadilah individu yang bertakwa dengan melaksanakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segera apa yang dilarangnya," titah baginda semasa merasmikan Masjid Bandar Diraja Klang di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis perasmian itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Sultan Selangor bertitah adalah perlu Jais membuat pengawalan terutama berhubung ceramah atau pengajaran agama Islam di negeri itu kerana ramai orang dari luar yang datang ke Selangor sebahagiannya bukan hanya mencari rezeki tetapi juga berdakwah serta mengajar perkembangan agama Islam.

Titah baginda segala peraturan dan prosedur yang dibuat bertujuan untuk pembangunan agama Islam dan perpaduan ummah hendaklah dipatuhi supaya umat Islam dipandang mulia dan dapat dihayati oleh umat bukan Islam untuk mendekati serta memahami agama Islam yang sebenarnya.

"Akhir-akhir ini terlalu banyak permasalahan sosial berlaku dalam masyarakat kita antaranya permasalahan perpaduan umat Islam, ajaran sesat, fanatik berkumpulan, fahaman ekstremis dan keruntuhan moral di kalangan mudamudi kita yang kesemuanya memerlukan kepada kekuatan dan kebijaksanaan kita untuk saling bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya," titah baginda.

Baginda turut mengingatkan walaupun terlalu banyak isu fitnah dan hasutan, salah faham, perselisihan dan perpecahan berlaku pada masa ini, semua pihak harus sedar bahawa cabaran itu bukan sahaja datang dari luar tetapi juga dari kelemahan, kelalaian, kejahilan dan permasalahan dalaman pihak itu sendiri yang kurang peka terhadap perihal agama, anak bangsa dan negara.

"Kadang-kala sikap yang terlalu optimis dengan ideologi kumpulan masing-masing dan memperbesarkan isu-isu yang remeh temeh menyebabkan perpecahan dan sengketa di antara ummah," titah baginda.

Mengulas mengenai fungsi masjid, Sultan Selangor bertitah selain menjadi pusat ibadah bagi seluruh umat Islam, masjid perlu berperanan sebagai pusat penjanaan, pembinaan kekuatan ummah dan penyatuan umat Islam secara menyeluruh.

Baginda bertitah keberkesanan institusi masjid bukan terletak kepada rekabentuk dan kelengkapan peralatan serta kemewahan sesebuah masjid itu sendiri tetapi ianya wujud sekiranya sesebuah masjid itu dapat memenuhi pengisiannya yang dapat menyatukan masyarakat, komitmen dan serius dalam mengatur strategi dakwah serta dapat menyelesaikan perselisihan dan perbalahan dalam kariah dan membina serta membimbing masyarakat ke arah kebaikan.

Sultan Selangor dalam pada itu menasihatkan rakyat agar mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan huru-hara yang menjejaskan keharmonian dan keamanan negeri itu.

"Laksanakanlah pelbagai langkah untuk memulihkan keadaan ekonomi kita agar kemampuan berbelanja tidak terjejas, kebajikan untuk golongan fakir miskin tidak dilupakan dan keupayaan untuk menunaikan zakat yang banyak dapat dilaksanakan," titah baginda. BERNAMA

Tiada ulasan: