Isnin, 23 November 2009

PANDUAN MEMILIH PEMIMPIN - Dr.Haron Din

"Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah."

Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah, selepas wafatnya baginda Rasulllah s.a.w yang dinukilkan semula oleh Dato' Haron Din sewaktu diminta untuk memberi panduan kepada umat Islam memilih pemimpin.

"Pemerintah, pemimpin atau individu yang terdiri daripada pembodek-pembodek, perasuah, guna harta dan tercalar akhlak wajib ditentang dan ditolak sama sekali berpandukan syarak dan ucapan Abu Bakar as-Siddiq itu," katanya.

Kata Dato' Haron Din umat Islam berkewajipan memilih pemimpin mengikut tuntutan syarak yang berpandukan al-Quran dan Sunnah di samping pemerintah juga wajib mendapat restu rakyat dan salah satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah ketika Rasullullah mendirikan kerajaan Islam Madinah termasuk ketika melantik Abu Bakar menjadi khalifah selepas wafatnya Nabi Muhammad.

Syarak katanya menentukan rakyat memilih pemimpin sepertimana melantik imam di dalam solat jemaaah iaitu yang terbaik di kalangan yang sedia ada.

"Maksud terbaik ialah bersih dan kuat imannya, lebih bertaqwa, lebih pandai hukum Islam dan lebih komited kepada agama Allah," katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Bani Israel pada zaman dahulu menghendaki pemimpin dan meminta Allah memilih, namun pilihan tersebut iaitu Taalut dibantah mereka kerana calon tersebut tidak berharta.

Lalu Nabi ketika itu menjelaskan bahawa walaupun Taalut tidak berharta tetapi mempunyai ilmu yang tinggi dan akhlak mulia serta berani, katanya.

"Umat Islam boleh merujuk ayat 247 surah al-Baqarah sebagai panduan dan tips untuk memilih pemimpin," katanya.

[2.247] Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Dalam pada itu beliau melarang memilih individu yang menggunakan hartanya untuk membeli undi dan tercalar akhlaknya.

"Taatilah pemerintah bukan bermaksud membuta tuli kepada sesiapa atau mana-mana sahaja pemimpin tetapi yang terbaik di kalangan kamu seperti yang disebut dalam al-Quran," katanya.

Tiada ulasan: