Jumaat, 22 Oktober 2010

Jangan persoal hak Melayu

Hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh sesiapapun.
Tetapi anehnya, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, hak keistimewaan orang Melayu sering disentuh dan dibangkitkan oleh pihak tertentu sama ada golongan bukan Melayu mahupun orang Melayu sendiri.
Kenapa ini harus terjadi? Pada hal, ia telah 'terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat sukar diganggu-gugat sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 kelmarin.
"Hak orang Melayu dilindungi sepenuhnya serta 'terkunci kemas' dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum di negara ini."
Najib menambah, "seandainya mempunyai dua pertiga dalam Parlimen pun, ia tidak akan mampu mengubah setitik apa pun jua, tanpa kebenaran Majlis Raja-Raja yang dianggotai oleh sembilan Raja-Raja Melayu."
Hakikat ini perlu difahami oleh semua warganegara. Asas pemahaman Perlembagaan Negara mahu tidak mahu mesti difahami oleh setiap warganegara agar kita dapat bertindak dengan lebih tepat dan tidak terpesong dari jalan sebenar. Dalam masa yang sama, ia tidak digunakan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan mereka.
Dalam memahami hak-hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 153 (yang mempunyai hubungan rapat dengan 'kontrak sosial', ia perlu dikaitkan dengan sejarah perjuangan bangsa serta struktur negara. Bagi melihat dan memahami perkara ini, perkara 153 tidak boleh dilihat secara bersendirian. Hanya semata-mata membincangkan perkara 153, ia akan memungkinkan kita menjadi keliru. Di antara perkara yang berkait rapat dalam memahami perkara 153 adalah:
1. Perkara 38 (5)
2. Perkara 10 (4)
3. Perkara 8 (2)
4. dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
Perkara 38 (5) adalah sangat penting difahami dalam membincangkan Perkara 153. Dalam Perkara 38 (5) menyatakan "Majlis-Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar yang menyentuh tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153."
Inilah di antara istimewanya Perkara 153 kerana ia tidak boleh dipinda hanya dengan suara majoriti dua pertiga Parlimen. Walaupun dua pertiga ahli Parlimen bersetuju meminda hak keistimewaan orang Melayu, ia tidak akan dapat dipinda sekiranya tidak ada persetujuan daripada sembilan orang sultan/raja Melayu.
Kadang-kadang timbul salah faham bahawa jika parti politik tertentu dapat menguasai dua pertiga dalam Parlimen, maka perkara yang berkaitan dengan hak keistimewaan ini akan dipinda dan diberikan hak yang sama rata kepada semua rakyat.
Pernah juga dikatakan oleh pihak-pihak tertentu bahawa hak istimewa ini adalah perkara lapuk lebih setengah abad lalu yang kini tidak lagi sesuai.
Memang Perlembagaan Persekutuan menyatakan satu peruntukan tertentu mengenai hak kesamarataan yang terkandung dalam Perkara 8. Tetapi dalam Perkara 8 (2) juga ada dinyatakan dengan jelas 'kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan Persekutuan ini…'
Ini bermaksud ada kekecualian 'kesamarataan' itu apabila ada dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 itu.
Perkara 153 ini mendapat kedudukan istimewa kerana ia tidak boleh dipersoalkan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 10 (4). "Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal (2) (a), Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang dipersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III, Perkara 152, 153, atau 181 melainkan yang berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.
Memang tak dapat dinafikan bahawa Perkara 153 adalah perkara yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah. Kedudukannya amat konkrit dan tidak sepatutnya dipersoalkan oleh kaum lain.
Penulis melihat ada maksud tersirat dan falsafah yang tinggi nilainya di sebalik hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 153 ini, iaitu pembentukan satu rupa bangsa yang kuat dan stabil yang didokong oleh kumpulan majoriti yang besar sifat dan bilangannya.
Maksud tersirat adalah akan terbentuknya satu kumpulan bangsa Melayu (bukan bangsa Malaysia) yang dominan dalam jangka panjang. Bagi mengukuhkan hujah ini bahawa orang-orang Melayu itu (mengikut pentafsiran Perlembagaan Persekutuan) adalah bukan dilihat daripada segi biologi, tetapi lebih kepada sosio budaya dan undang-undang.
Bagi menyokong hujah ini, kita mesti merujuk Perkara 160 mengenai definisi 'orang-orang Melayu'. Melayu mengikut Perkara 160 adalah 'orang Melayu' ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan - (a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura: atau (b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian.
Tidak mudah memahami Perkara 153 dan hal-hal yang berkaitan tanpa menghubungkaitkan dengan perkara-perkara lain. Rumusan yang dapat dibuat bahawa Perkara 153 dan hal-hal berkaitan dengan hak istimewa orang Melayu adalah mempunyai niat baik dan tujuan positif bagi pembinaan negara bangsa khususnya dalam jangka panjang.
Tidak sepatutnya ada sesiapa yang menolak dan mempertikaikan perkara ini jika benar-benar faham dengan mendalam. Adalah wajar kenyataan Perdana Menteri dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa hak keistimewaan Melayu ini wajar diterima oleh semua kaum di Malaysia.
Sebagai parti politik besar seperti UMNO, persoalan seperti ini perlu jelas agar orang-orang Melayu faham dan sedar tonggak sebenar perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, agar bangsa Melayu terus bersatu dan kuat bagi kestabilan negara dan pembangunan Malaysia.
Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid
Sekolah Sains Sosial,
Universiti Malaysia Sabah

Isnin, 4 Oktober 2010

Sultan: Golongan pertikai hak Melayu cetek akal

Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan badan kehakiman dan mahkamah supaya berhati-hati dalam mengadili kes-kes sensitif yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat termasuk melibatkan kuasa raja.


Sultan Ibrahim bertitah kes sensitif yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana dikhuatiri ia boleh mendatangkan rasa tidak puas hati kepada sesuatu pihak.

"Kes-kes mahkamah yang tidak sesuai untuk dibicarakan hendaklah ditolak kerana jika mahkamah mendengar kes tersebut dan membuat keputusan, sudah pasti ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Oleh itu, adalah lebih baik jangan dilayan kes-kes sensitif terutama yang melibatkan kuasa raja-raja," titah baginda pada perasmian seminar Perlembagaan Malaysia peringkat negeri Johor di Johor Baharu hari ini.

Baginda bertitah, sebarang bentuk perbahasan dan pertelingkahan mengenai isu sensitif juga hendaklah dielakkan oleh semua pihak kerana ia hanya akan menambahkan lagi jurang perselisihan terutama antara agama dan bangsa.

Menurut Sultan Ibrahim segala kekeliruan yang timbul perlu diperjelaskan dengan teliti supaya rakyat dapat hidup dengan harmoni, aman damai dan saling menghormati.


Baginda turut membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub sekian lama dalam Perlembagaan negara.

Menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal, Sultan Ibrahim bertitah tindakan yang hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan persekutuan itu akan merosakkan keharmonian kaum di negara ini.

"Kita perlu ingat, keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu tidak menghalang hak kaum lain, malah kaum lain juga diberi hak dan jaminan dalam Perlembagaan. Ini semua terbentuk hasil dari sikap toleransi yang tinggi pemimpin-pemimpin kita dahulu.

"Belajarlah daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang mana kedamaian negara tergadai akibat hilangnya sikap toleransi dan wujudnya golongan pelampau atau ekstremis.

“Golongan inilah yang menjadi dalang merosakkan kedamaian sesebuah bangsa," titah baginda.

- Bernama

Isnin, 6 September 2010

Khoo Kay Kim: Hak istimewa Melayu tak boleh dipadam

Khoo Kay Kim: Hak istimewa Melayu tak boleh dipadam
6 Sep, 10 5:08pm
Rakyat Malaysia dari mana-mana kaum yang mempersoal atau mempertikaikan Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera adalah buta sejarah dan tidak memahami Perlembagaan, kata pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Beliau berkata kedudukan orang Melayu sudah ditetapkan pada zaman dahulu iaitu ketika zaman penjajahan British lagi.

"Bila British sampai ke Tanah Melayu, mereka dapati terdapat beberapa tempat di Semenanjung sudah mempunyai kerajaan dan mereka mengiktiraf kerajaan tersebut.

"Kerajaan itu ada ramai rakyat (orang Melayu) dan bagi British, rakyat kepada raja itu mempunyai hak yang khusus, orang lain yang datang dan menetap di Tanah Melayu bukan rakyat raja, oleh demikian mereka tidak dapat menikmati hak yang ada pada orang Melayu," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.

Beliau berkata orang bukan Melayu di Semenanjung pada ketika itu bukanlah warga negara ataupun rakyat raja dan mereka hanya berpeluang untuk memohon kewarganegaraan apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1 Feb 1948.

"Apabila British mula merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, apa yang sudah wujud disambung, menjelang tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan digubal dan dimasukkan perkara-perkara yang sudah wujud," katanya.

Justeru, kata Khoo, rakyat khususnya kaum-kaum lain perlu sama-sama menghormati hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut.

"Kedudukan istimewa orang Melayu telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak 1895 sudah ada sembilan kerajaan yang kekal sampai ke hari ini," katanya.

Perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Khoo berkata punca mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah.

"Orang tak faham (Perlembagaan)...jahil, mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan, tidak perlu ada perbincangan atau perbahasan mengenai Perlembagaan kerana apa yang penting ikut saja undang-undang yang telah diguna pakai sejak dulu," katanya.

Beliau berkata sekiranya Perlembagaan mahu dipinda, persetujuan daripada dua pertiga Anggota Parlimen perlu dicapai dan mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, sesiapa yang mahu menghapuskan atau meminda Perkara 153 pula, perlu mendapatkan persetujuan orang Melayu dan Bumiputera terlebih dahulu selain majoriti di Parlimen dan perkenan Seri Paduka Baginda.

"Kalau Perkara 153 perlu dipinda atau dihapuskan, keseluruhan orang Melayu mesti setuju, kalau orang Melayu rasa belum sedia untuk pinda, maka ia tidak boleh dipinda," katanya.

Bulan lepas, MCA menggariskan 13 resolusi pada Kongres Ekonomi Cina antaranya meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.

Kenyataan ini secara tidak langsung menggesa kerajaan agar memansuhkan Perkara 153 dan cuba mempertikaikan tanggungjawab yang ada pada ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang memelihara hak dan keistimewaan orang Melayu.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria semasa menjadi panel wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Ipoh bulan lepas pula mendedahkan bahawa ada perlembagaan baru dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang akan menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.

Terbaru, pada Selasa lalu, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menulis dalam portal berita The Malaysian Insider bahawa idea 'hak orang Melayu' yang dibawa oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hanya satu gagasan ideologi dan falsafah yang tidak berakarumbikan Perlembagaan.

Nurul Izzah berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa Suruhanjaya Reid, yang merangka Perlembagaan, melihat Perkara 153 sebagai pendekatan sementara dan tertakluk kepada kajian semula selepas 15 tahun oleh Parlimen.

Berang dengan kenyataan wakil rakyat PKR itu, penganalisis politik Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata Nurul Izzah perlu meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen kerana membuat tafsiran yang salah tentang hak-hak Melayu serta menyeleweng dan menipu rakyat.

"Dia jahil dan sedang keliru. Dia tidak tahu bahawa Laporan Reid hanyalah syor-syor yang dipinda oleh kertas putih yang diterbitkan di London tentang Perlembagaan Tanah Melayu," katanya.

Zainal turut mendesak kerajaan agar meneliti kenyataan Nurul Izzah itu kerana orang yang mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan telah melanggar undang-undang dan Akta Hasutan 1948.

"Kerajaan mesti teliti ucapan-ucapan seperti ini sama ada ia boleh disabitkan dengan Akta Hasutan, jika ya, maka pihak itu boleh didakwa," katanya.

Zainal, pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tidak menafikan bahawa wujudnya gerakan yang dilakukan oleh orang bukan Melayu untuk menghapuskan hak Melayu dan orang Melayu itu sendiri.

"Ia seperti ideologi asing yang dicetuskan di Singapura pada sekitar 1963-1964 yang ingin memecahkan Malaysia, seluruh rakyat harus menentang gerakan ini kerana ia akan menyebabkan pergolakan rakyat," katanya.

Beliau berkata kaum lain telah diintegrasikan sebagai warga negara melalui undang-undang, maka semua yang menjadi warga negara atau rakyat mesti patuh pada undang-undang dalam Perlembagaan, jika tidak perasaan taat setia dan cinta kepada negara mereka boleh dipersoalkan.

"Mereka jadi rakyat kerana Perlembagaan benarkan, jadi mereka mesti hormat sepenuhnya kepada Perlembagaan, dan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjunjung tinggi Perlembagaan negara. Kalau tak kita boleh persoalkan kerakyatan dan taat setia mereka," katanya.

Zainal berkata Perkara 153 amat penting bagi melindungi dan membantu orang Melayu dan Bumiputera khususnya yang berada di luar bandar dan pedalaman.

"Orang kampung, Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang duduk di luar bandar dan pedalaman mesti dibantu, kerajaan wajib laksanakan Perkara 153 demi kesejahteraan rakyat dan membela golongan yang tidak dapat menikmati kemudahan yang canggih seperti di bandar," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata semua kaum di Malaysia perlu menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan kerana jika ia tidak dipelihara maka akan berlaku perpecahan dan ketidakstabilan di negara ini.

Beliau berkata ketika Tanah Melayu menuntut kemerdekaan lagi sudah wujud suasana tidak puas hati mengenai Perlembagaan tetapi ia hanyalah daripada golongan minoriti.

"Sekarang golongan minoriti ini sudah dapat akses ke dalam blog-blog dan media, dulu tidak ada, sekarang sudah ada kebebasan bersuara dan kita nampak seolah-olah ramai yang menentang, sebenarnya tidak," katanya.

Ahmad Atory berkata kaum lain tidak patut mempersoalkan mengenai kuota yang dinikmati oleh orang Melayu dan Bumiputera kerana dengan adanya kuota tersebut orang Melayu akan boleh bersaing dengan kaum lain yang lebih maju.

"Melayu ketinggalan, jika tiada kuota kaum lain akan bolot semua dan tiada yang tinggal. Kalau (benar dakwaan kononnya) kita nafikan hak kaum lain maka tiada orang Cina yang jadi bilionaire," katanya.

Ahmad Atory berkata kerajaan selaku pelaksana hak dan keistimewaan orang Melayu perlu ada mekanisme tertentu untuk mengurus pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kerajaan perlu ada program kenegaraan, mata pelajaran Sejarah amat penting untuk generasi masa depan mengenal sejarah kemerdekaan negara, kerajaan juga perlu ada hujah dan fakta untuk menerangkan kepada golongan-golongan ini mengenai sejarah negara," katanya.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu yang merangka Perlembagaan telah "terlajak sejarah" iaitu mereka tidak menjangka sama sekali bahawa fasal-fasal yang termaktub dalam Perlembagaan ditentang hebat oleh kaum bukan Melayu pada zaman sekarang.

"Kalau mereka jangka mungkin ada beberapa perkara yang boleh dibetulkan, tetapi kita tidak boleh nak kata apa, sudah terlajak sejarah, bapa-bapa kemerdekaan sudah buat benda ini (Perlembagaan)," katanya.

Beliau berkata fenomena "terlajak sejarah" itu kini terpaksa dipikul oleh generasi sekarang di mana tanggungjawab yang ada adalah lebih berat daripada tokoh-tokoh terdahulu selaras dengan peredaran zaman.

--Bernama