Khamis, 19 November 2009

Ucapan Sultan Perak - Jangan dorong huru-hara

Jangan dorong huru-hara

Istiadat sambutan ini, melambangkan pengiktirafan sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan prinsip rakyat beraja - negeri bersultan.

Malaysia adalah sebuah negara Persekutuan, bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu yang didukung oleh sembilan negeri di bawah pemerintahan Raja-raja Melayu yang berdaulat, digabungkan dengan dua negeri selat, Melaka dan Pulau Pinang. Malah, Melaka sebelum penjajahan adalah sebuah negeri Melayu bersultan dan Pulau Pinang pada asalnya berada di bawah naungan pemerintahan Sultan Kedah. Nyatalah sistem pemerintahan Raja-raja Melayu telah lama wujud dan berakar di bumi ini.

Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia ditubuhkan dengan persefahaman untuk berada di bawah naungan pemerintahan seorang raja sebagai ketua negara sementara Raja-raja Melayu terus bersemayam di singgahsana pemerintahan setiap negeri.

Raja berperlembagaan bermaksud kuasa raja-raja dikanunkan secara bertulis. Anggapan bahawa raja sekadar lambang tanpa sebarang kuasa adalah tafsiran yang salah dan mesti diperbetulkan.
Raja pemerintah bukan daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Bahkan segala yang berlaku dalam negara adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

Perlu ditegaskan bahawa raja berperlembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan; hak untuk memberi galakan dan dorongan; dan hak untuk memberi peringatan dan teguran.

Raja pemerintah adalah raja pemerintah, sama ada secara mutlak atau secara raja berperlembagaan. Perbezaan antara kedua-duanya adalah satu ditafsirkan tidak mempunyai batasan kuasa dan satu lagi bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang Presiden, terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat. Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan Perlembagaan.

Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab lebih luas dalam memastikan bahawa semangat Perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang tersurat, kepentingan negara dan warga yang tersirat perlu sentiasa dilindungi.

Bahawa raja pemerintah adalah sebahagian daripada institusi negara yang diperuntukkan dengan kuasa budi bicara oleh Perlembagaan untuk melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang demi memelihara ketenteraman awam, kestabilan negara, kepentingan umum dan kebajikan warga terus terpelihara di samping memastikan perkara-perkara pokok dan fundamental mengenai agama Islam dan orang Melayu kekal dipertahankan.

Berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Raja-raja Melayu mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan merupakan resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu.

Sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku, begitu juga insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

Beta sendiri dari semasa ke semasa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahu pun tertutup berkaitan perkara-perkara yang tergelincir daripada dasar dan garis perundangan.

Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca daripada kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

Barang dijauhkan Allah daripada bangsa menghadapi nasib malang - menang sorak kampung tergadai, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri.

Negara kita sebuah negara yang makmur, aman dan sejahtera. Sebuah negara yang merdeka terdiri daripada warga berbilang agama, kaum, budaya dan bangsa; hidup secara harmoni, berjiran, bekerjasama, saling membantu dan saling menghormati.

Beta memerhatikan akan pelbagai perkara tidak sihat yang sedang berlaku di negara kita, apabila nafsu mula menguasai akal. Telah ada suara-suara ekstrem yang sampai ke peringkat menghasut rakyat mencetuskan huru-hara.

Badan-badan penguat kuasa kini dicabar secara provokatif, masjid dan kesucian Islam rela dinodai, malah institusi raja dan takhta turut dicemar dan dihina secara menyemai rasa benci rakyat terhadap raja.

Raja dan takhta sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat secara terbuka memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan. Perbuatan-perbuatan kumpulan tertentu menyalakan api dalam sekam ini amatlah berbahaya dan boleh memusnah dan menghancurkan negara.

Betapa perebutan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara; betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan; betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa.

Pada hemat beta, rakyat negara ini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa tidak akan memberi manfaat kepada warga. Malah rakyat biasa akan menjadi mangsa kerana terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian.

Demi kepentingan negara dan kepentingan warga, amatlah perlu dicari titik pertemuan dan kaedah kerjasama di kalangan pemimpin meskipun mewakili kumpulan politik yang berbeza.
Beta hargai akan lafaz taat setia yang dizahirkan oleh Paduka Anakanda Raja Muda, demikian juga ikrar taat setia Mamanda Menteri Besar. Beta turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua raja bergelar, waris negeri, kerabat di raja, Orang Besar dan Ahli Dewan Negara yang telah membantu beta memenuhi tanggungjawab seorang Sultan.
Beta menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia yang secara bersama telah memenuhi peranan dan tanggungjawab mengurus tadbir serta memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan stabil, selamat dan makmur.

Demikian juga penghargaan beta atas peranan konstruktif pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukarela, badan-badan sukan serta rakyat jelata keseluruhannya yang telah sama-sama berusaha memajukan negeri Perak.

Ke hadrat Allah SWT beta mohon petunjuk agar dapat memenuhi tanggungjawab sebagai Amirulmukminin dengan bijaksana lagi saksama. Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan nikmat dan rahmat serta terus memberikan perlindungan dan bimbingan kepada raja, negeri dan rakyat.

Tiada ulasan: